DUBAI: Kebakaran yang berlaku berpunca daripada letupan silinder gas telah dipadamkan oleh Pasukan pertahanan awam di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi semalam.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pula mengeluarkan amaran kebakaran itu kemungkinan serangan peluru berpandu atau dron kerana beberapa minggu lalu, UAE berdepan serangan daripada gerakan Houthi di Yaman.
Bagaimanapun, tidak jelas jika laporan yang dipetik kedutaan itu ada kaitan dengan kebakaran.
Pejabat Kedutaan AS dan Pihak berkuasa UAE gagal dihubungi susulan tidak memberi maklum balas segera untuk mengulas perkara itu.
Media kelolaan gerakan Houthi juga tidak mengaku melakukan serangan terbaru itu.
Menurut pertahanan awam Abu Dhabi, pihaknya menerima satu laporan kebakaran pada jam 12.09 pagi, berpunca letupan silinder gas di dalam sebuah bangunan terletak di kawasan pusat perumahan dan tiada kematian berlaku.
“Pasukan khas memadamkan kebakaran, mengosongkan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga dan mengawal keadaan,” kata pihak berkuasa pertahanan awam dalam satu kenyataan disiarkan media negara itu.
Gerakan Houthi yang berperang dengan pakatan diketuai Arab Saudi termasuk UAE mendakwa, tiga serangan ke atas UAE termasuk satu ke atas depoh bahan api di Abu Dhabi yang membunuh tiga orang pada 17 Januari lalu dan dua dipatahkan.
Serangan keempat membabitkan dron tetapi berjaya dipintas pasukan pertahanan UAE.
AS dan Perancis berkata, mereka akan membantu meningkatkan keupayaan pertahanan UAE, selaku negara sekutu Barat dan terkenal sebagai hab komersial serta pelancongan di rantau itu. – REUTERS
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today