Covid19Semasa

Malaysia sekat perjalanan ke negara Afrika bermula esok

Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan larangan perjalanan ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe berkuat kuasa esok.

Sekatan sementara turut dijalankan kepada warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terbabit dalam tempoh 14 hari daripada memasuki Malaysia.

Hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan kewujudan varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529.

Menurut Khairy, terdapat tiga negara dilaporkan mempunyai kes berkaitan varian baharu ini iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat kes) dan Hong Kong (dua kes).

“Kes pertama dilaporkan di Botswana pada 11 November lalu manakala Afrika Selatan pada 14 November dan Hong Kong pada 25 November.

“Kes yang dilaporkan di Hong Kong mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan,” katanya pada sidang media.

Tambah beliau, warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara terbabit dibenarkan memasuki negara dengan syarat mereka dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Langkah pencegahan dan kawalan serta perkembangan varian baharu B.1.1.529 ini akan dimaklumkan pihak KKM dari semasa ke semasa.

Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan pemantauan perkembangan situasi varian baharu ini di dalam dan luar negara, termasuk pelaporan daripada pihak WHO.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button