Semasa
Kawasan pelancongan air terjun Yan masih belum selamat untuk dikunjungi
YAN : Orang ramai tidak disarankan untuk mengunjungi kawasan peranginan Titi Hayun, Batu Hampar dan Seri Perigi yang terjejas berikutan tragedi kepala air Gunung Jerai 18 Ogos lalu buat sementara waktu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah Datuk Suraya Yaacob berkata ini kerana, perubahan landskap kawasan sehingga aliran air deras dan tidak terkawal disebabkan struktur binaan dan tanah sekitar kawasan runtuh.
“Disebabkan banyak struktur yang tidak selamat dan agak membimbangkan, sesiapan pun kita tidak akan beri kebenaran untuk masuk ke kawasan ini lagi,” katanya.
Sehubungan itu, Suraya meminta kerajaan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) agar pembinaan Empangan Sabo yang menelan kos RM20 juta di kawasan Gunung Jerai dipercepatkan bagi menggantikan pokok dan batu yang bertindak sebagai penampan sebelum ini.
Beliau berkata empangan itu akan bertindak melambatkan pergerakan air seterusnya membantu mengurangkan kemusnahan di bahagian bawah dan kampung di sekitar situ.
Dalam pada itu, Suraya memaklumkan kerja membaik pulih dan membersihkan sungai sudah bermula pada pertengahan September lalu dan sehingga kini mencapai 65 peratus kemajuan dan dijangkakan siap pada awal November depan.