SHAH ALAM: Kisah antara seorang umat islam yang diasuh oleh ibu bukan Islam telah menunjukkan kasih sayang yang terbentuk disebalik dua insan yang berbeza agama.
Rohana Abdullah seorang anak yang beragama Islam telah dibesarkan oleh wanita bukan Islam Chee Hoi Lan sejak berusia dua bulan berikutan permit ibunya yang juga warga Indonesia tamat.
Kisah Rohana dan Chee Hoi Lan sama seperti kisah Nabi Muhammad SAW dibesarkan bapa saudaranya Abu Talib yang bukan beragama Islam. Ini merupakan satu contoh terbaik hubungan erat sesama manusia dalam mewujudkan suasana harmoni tanpa syak wasangka.
Rohana masih ingat akan kisah-kisah sewaktu ibu angkatnya itu menjaganya. Antaranya adalah Laoshi menghadiahkannya telekung untuk menunaikan solat ketika masih kanak-kanak.
Hoi Lan juga tidak malu-malu bertanya rakan dan guru untuk memenuhi keperluan pembelajaran Rohana. Muqaddam dan al-Quran ada di sekolah, jadi Laoshi menyediakan telekung untuk Rohana belajar solat.
Beliau juga masih ingat Hoi Lan atau mesra dikenali sebagai Laoshi yang bermaksud guru dalam bahasa Mandarin sibuk bertanya rakan-rakannya bagaimana orang Islam menjalani ibadat puasa. Ketika itu, Rohana berusia sembilan tahun, baru mula belajar rukun Islam ketiga itu.
Tiap kali sambutan Tahun Baharu Cina pula, Laoshi yang tidak berkahwin membawa Rohana ke rumah abangnya di Damansara yang turut dianggap sebagai keluarga sendiri.
Kegigihan mendidik Rohana menjadikan Laoshi dipilih sebagai penerima anugerah Ibu Sejati-Keluarga Malaysia sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 2022. Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 Oktober tahun lalu.
Hasil pengorbanan Laoshi, Rohana yang kini berusia 23 tahun berasa dirinya tidak berbeza dengan rakan sebaya yang beragama Islam. Meski sekian lama hidup sebumbung dengan insan bukan Islam, Rohana menjalani kehidupan sebagai seorang muslim sama seperti umat Islam lain.
BACA JUGA
Kuih bakul halal terima permintaan berganda sempena Tahun Baharu Cina