Kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000
KUALA LUMPUR: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah yang menunaikan ibadah umrah kini dinaikkan kepada 100,000 orang.
Bilangan jemaah solat fardu turut dinaikkan kepada 60,000 orang.
Kementerian itu berkata menerusi satu ciapan di Twitter bahawa pihaknya membuat penyelarasan dengan agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang menumpukan kepada kesihatan dan keselamatan, sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah serta pengunjung sebulan.
Sejak ‘model umrah yang selamat dilancarkan pada 4 Oktober 2020 lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan seramai 10 juta jemaah sudah mengerjakan ibadah umrah.
Sementara itu, kementerian turut memberitahu lebih 12,000 visa telah dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi menyambut kedatangan jemaah dari pelbagai negara sejak 10 Ogos lalu.
Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata, pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah dari dalam serta luar Arab Saudi, dan menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.
“Segala operasi serta persiapan menyambut kedatangan jemaah, mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah”, katanya.
– BERNAMA