SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak istimewa berjaya menempah nama di dalam Malaysia Books of Records (MBR) dalam kategori ‘Mengenal pasti bendera antarabangsa terbanyak oleh kanak-kanak autisme’.
Merujuk portal Bernama, Rashwin a/l Kalithas, yang baru sahaja berusia 4 tahun, berjaya mengenal pasti 198 bendera dalam tempoh 9 minit 54 saat.
Perunding Kanan Rekod MBR, Edwin Yeoh, pencapaian itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana pada kebiasaannya kanak-kanak autisme mempunyai daya fokus yang kurang dan sangat mudah terganggu.
“Rashwin melakukan dua kali percubaan (secara maya) tetapi tidak melakukan dengan baik, tetapi dalam percubaan ketiga, kita sebenarnya mahu menggunakan kad imbasan (secara fizikal) kerana beliau sudah biasa dengan cara itu (dan akhirnya dia berjaya memecahkan rekod tersebut),” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sijil.
Ujarnya, rekod terdahulu dipegang oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dari Negeri Sembilan pada awal tahun ini.
“Bapanya, Kalithas Selvaraju, 40, telah menghantar permohonan untuk aksi memecahkan rekod dan rekod sebegini wujud pada peringkat antarabangsa namun tidak ia bukan dipecahkan oleh kanak-kanak autisme.
“Kita juga berasakan seseorang dewasa jika diuji sedemikian, belum tentu dapat jawab separuh daripadanya seperti yang dilakukan Rashwin memandangkan sukar untuk kanak-kanak autisme memberi fokus pada satu-satu barang tertentu kerana daya perhatiannya singkat dan mudah terganggu,” kata Yeoh.
Sementara itu, ibu kepada Rashwin, Krishnarani Balakrishnan, 36, berkata anaknya itu berjaya menetapkan satu tanda aras yang baharu.
Suri rumah itu berkata beliau mula mengesan bakat anaknya itu seawal usianya dua setengah tahun kerana dia berminat dengan kamus bergambar selain bentuk dan warna.
“Untuk rancangan masa depan, kami akan beri dia masa sebelum cuba memecahkan rekodnya sendiri.
“Kami juga mahu terus memberi pendedahan tentang autisme dan memberi inspirasi kepada lebih ramai ibu bapa untuk lebih memahami anak-anak autisme mereka.
“Secara peribadi, kami mahu generasi muda memahami mengenai penyaki autisme. Bagi sekolah, alangkah baiknya sekiranya kesedaran mengenai autisme diselitkan di dalam pendidikan kerana banyak kes buli melibatkan golongan ini,” kata Krishnarani.
Oleh Nurshazlin Shahrom