InspirasiSemasa

Kanak-kanak 5 tahun cacat penglihatan, hafaz Al-Quran melalui radio

Biarpun dilahirkan kurang sempurna secara fizikalnya, namun, siapa sangka, kanak-kanak berusia lima tahun ini telah berjaya menghafal kesemua ayat suci Al-Quran hanya melalui radio !

Hussein Mohammad Tahir dilahirkan cacat penglihatan dan berasal dari Burma telah menghafal Al-Quran selepas bapanya membelikan radio untuknya kerana tahu bahawa anaknya itu tidak akan dapat menonton televisyen seperti yang lain.

Bapa, Mohammad Tahir berkata dia menetapkan frekuensi di stesen yang menyiarkan alunan ayat-ayat Al-Quran 24 jam supaya anaknya dapat mempelajari Al-Quran.

“Saya langsung tidak menyangka anak ini mendapat manfaat daripada radio dengan menghafaz al-Quran,” katanya.

Tiga tahun Tahir tidak menyedari Hussein sedang menghafaz kitab suci itu melalui radio.

Selepas mereka berpindah dari Jeddah ke Madinah, kanak-kanak itu meminta ayahnya untuk membawanya ke Masjid Nabawi.

Tetapi dengan syarat si ayah meminta anaknya itu membaca beberapa ayat dari Surah Al-Baqarah.

Dengan Izin Allah, anak istimewa itu membaca keseluruhan isi surah itu.

Mohammad Tahir berkata, dia membawa anaknya kepada beberapa guru dan orang yang menghafal Al-Quran untuk mengesahkan kanak-kanak itu telah menghafaz al-Quran sepenuhnya.

Mereka mengesahkan pencapaian Hussein dan berkata dia hanya memerlukan beberapa pelajaran dalam tilawah.

Hussein dimasukkan ke dalam kumpulan hafazan Al-Quran kanak-kanak cacat penglihatan di Masjid Nabawi.

“Ini membuatkan saya lupa semua kesusahan yang ditanggungnya selama ini, dilahirkan buta dan mempunyai sedikit kecacatan di tangan,” kata Tahir dengan penuh kesyukuran.

Sesungguhnya Al-Quran ini mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di dalamnya.

Begitu juga kelebihan yang ada pada Kalamullah, tetapi tidak ramai manusia yang ingin mengambilnya sebagai wasilah kehidupan.

Rugilah orang yang tidak ada al-Quran di dalam hatinya walaupun satu ayat.

Rasulullah SAW menganggap orang yang tidak membaca Al-Quran dan tidak menghafalnya, seterusnya tidak pula beramal dengan ajarannya adalah orang yang sangat rugi seperti rumah buruk yang hampir runtuh.

Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ القُرْآنِ كَالبَيْتِ الخَرِبِ

“Orang yang tidak ada di dalam dadanya sepotong pun ayat Al-Quran ibarat rumah yang ditinggalkan kosong”. 

Related Articles

Back to top button