GUWAHATI : Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun antara mangsa kekejaman gerakan anti-pencerobohan di daerah Darrang di Assam membabitkan polis dan penduduk tempatan.
Merujuk laporan portal berita NDTV, rakaman yang tular memaparkan anggota polis dengan lengkap bersenjata menyerang penunjuk perasaan serta melepaskan tembakan rambang menyasarkan penduduk tempatan.
Adik kepada mangsa, Ainuddin, memberitahu Al-Jazeera, abangnya Moinul Haque, 28, mati ditembak dan diserang beramai-ramai oleh pihak penguasa.
“Polis menembaknya di dada. Manakala, jurugambar itu memukulnya. Mereka terus memukulnya walaupun dia sudah mati.” kata Ainuddin kepada Al Jazeera.
Berdasarkan rakaman yang tular di media sosial, Moinul, berlari ke arah sekumpulan polis tanpa bersenjata, lalu ditembak salah seorang anggota polis sebelum dikepung.
Lebih menggerunkan, sejurus ditembak, jenazah Moinul disepak dan dipijak seorang jurugambar tempatan tanpa belas kasihan.
Mangsa kedua, Sheikh Farid yang berusia 12 tahun, merupakan mangsa tembakan polis ketika dia dalam perjalanan menuju ke pejabat pos.
Terdahulu, pengusiran berlaku sejak Isnin melibatkan 800 keluarga Islam diusir serta rampasan tanah seluas 25.595 ekar, di mana majoriti penduduknya beragama Islam.
Minggu lalu, ramai penduduk di daerah tersebut dihalau secara paksa dan rata-rata mereka menepis dakwaan bahawa kerajaan telah memberi amaran awal sebelum dihalau.
Oleh Nurshazlin Shahrom