DuniaSemasa

“Kami terpaksa jual buah pinggang untuk sara keluarga”

KABUL: Krisis kemanusiaan yang berpanjangan di Afghanistan menyebabkan penduduknya mengalami pelbagai masalah terutamanya isu kelaparan, lapor laman berita Wion News, kelmarin.

Menurut laporan, demi mendapatkan wang bagi membeli makanan buat keluarga, beberapa penduduk di wilayah Herat terpaksa menjual buah pinggang mereka.

Selain itu, penduduk di daerah Injil dilaporkan menjual buah pinggang mereka di pasaran gelap demi sedikit wang bagi mengatasi kelaparan yang dialami, demikian menurut laporan agensi berita TOLO News.

“Kami menjual buah pinggang sekiranya ada yang sanggup membelinya supaya dapat membeli makanan untuk anak-anak kami,’’ jelas seorang penduduk setempat.

Menurutnya, berdasarkan undang-undang negara itu, tindakan penjualan organ adalah dilarang tetapi dia tidak mempunyai pilihan lain demi kelangsungan hidup.

Kanak-kanak dan wanita turut dilaporkan bertindak menjual buah pinggang mereka.

“Kami gembira keadaan keselamatan adalah baik tetapi harga agak tinggi di negara ini,’’ jelas seorang penduduk lain kepada TOLO News.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Luar Britain, Liz Trus mengulas mengenai perkara tersebut dan berkata bahawa ia sangat membimbangkan.

“Kami sedang bekerja keras untuk membawa penduduk keluar dari Afghanistan dengan menggunakan pelbagai laluan. Kami turut menjalankan bantuan kemanusiaan tambahan ke Afghanistan,’’ jelas beliau. – AGENSI

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today 

Related Articles

Back to top button