
Rantau Panjang : Belum tamat suku pertama tahun 2022, negara kita telah diuji dengan pelbagai dugaan.
Bencana banjir yang berlaku pada awal tahun disangkakan sudah berlalu dan masyarakat dapat kembali hidup seperti sediakala, namun tragedi bah berulang kembali.
Terkini, kawasan pantai timur sedang diuji dengan bencana banjir yang sudah berlarutan hampir seminggu.
Antara yang terjejas adalah kawasan di Rantau Panjang, Kelantan.
Menurut Pengerusi Masjid Kampung Wahyu, Shafie Abdullah, terdapat empat taman yang terjejas melibatkan Taman Wahyu, Taman Tasneem, Taman Warta dan Taman Prima Indah.
“Hampir 200 buah keluarga terkesan dengan bencana tersebut di mana rumah mereka kini ditenggelami air sehingga mencecah paras bumbung.
“Ketika air dah mula naik, penduduk semua lari dalam ketakutan ke kawasan tinggi demi menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemubual UMMAHToday.
Penduduk di taman-taman tersebut terperangkap dalam kawasan mereka ekoran paras air yang terlalu tinggi sehingga menghalang jalan keluar dan masuk.
Sejak semalam, sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama MAPIM Rangers telah tiba di negeri Kelantan bagi meninjau kawasan dan menghantar bantuan untuk mangsa banjir.
Sebanyak 50 kotak makanan diturunkan di Surau Taman Wahyu untuk diagihkan kepada mangsa yang terjejas.
Misi Bantuan Bencana Banjir Pantai Timur MAPIM kini masih berlangsung di sekitar kawasan negeri Kelantan dan dijangkakan mereka berada di sana lebih kurang seminggu.
MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu sahabat peduli Ummah untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang sedang diuji dengan bencana banjir.
