UGANDA : Berjuta kanak-kanak Uganda tidak dapat hadir ke sekolah hampir 20 bulan ekoran kadar vaksinasi di negara itu masih rendah dan memaksa pihak berkuasa untuk menutup sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.
Hal ini, menjadikan sekolah di Uganda antara sekolah yang paling lama ditutup sejak bermulanya penularan wabak Covid-19 dan dijangka akan berterusan berdasarkan data global dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Pendidikan Uganda, Janet Museveni berkata, penutupan institusi pendidikan ini bertujuan melindungi golongan remaja daripada jangkitan virus tersebut.
Isteri kepada Presiden, Yoweri Museveni itu juga memaklumkan kepada agensi Anadolu, bahawa tiada rancangan untuk membuka semula sekolah sehingga Januari 2022.
“Sekolah tidak akan dibuka sehingga pelajar, guru dan kakitangan sekolah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.” katanya.
Setakat ini, menurut laporan data dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika, kurang daripada lapan peratus rakyat Uganda mendapat satu dos suntikan vaksin, manakala, hanya dua peratus populasi di negara itu lengkap divaksin sepenuhnya.
Bagaimanapun, ahli parlimen Ibrahim Semujju Nganda, memberitahu Anadolu, cadangan untuk membuka semula sekolah selepas 15 juta kanak-kanak divaksin adalah “angan-angan” semata susulan negara itu gagal memberi vaksin kepada penduduknya yang kini berjumlah 4.8 juta.
Secara kumulatif, sejumlah 125,788 kes jangkitan Covid-19 direkodkan di Uganda dan 3,200 kematian dicatatkan.
Oleh Nurshazlin Shahrom