Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday
NEW DELHI: Siasatan pengawal selia penerbangan awam mendapati kegagalan juruterbang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca pesawat terhempas, mengakibatkan penumpang maut di selatan India tahun lalu.
Pesawat Air India Express 1344, jenis Boeing 737, terhempas dekat lapangan terbang Kozhikode di Kerala, membawa 190 penumpang termasuk kru kabin pada Ogos tahun lalu.
Kejadian itu berlaku ketika pesawat menempuhi ribut, menyaksikan ia menjunam dan terhempas dekat tebing, sehingga strukturnya berkecai.
Kira-kira 21 orang termasuk 19 penumpang dan dua juruterbang maut dalam kejadian itu.
Lagi 75 penumpang dan seorang kru kabin mengalami kecederaan serius, menurut laporan.
“Kemungkinan punca kemalangan itu adalah ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) oleh PF (juruterbang bertugas),” kata Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat di bawah Kementerian Penerbangan Awam dalam satu laporan yang diterbitkan semalam.
Menurut pengawal selia itu, juruterbang meneruskan pendekatan yang tidak stabil dan mendarat di luar zon pendaratan iaitu separuh landasan walaupun ada panggilan untuk ‘pergi berpusing’ oleh PM ataupun juruterbang pemantau.
Tambah laporan itu, juruterbang pemantau gagal untuk mengambil alih kawalan pesawat dan melaksanakan arahan ‘pergi berpusing’, di mana pendekatan pendaratan dibatalkan.
Kedua-dua juruterbang melakukan dua cubaan untuk mendarat dalam keadaan angin ribut dan hujan sebelum terhempas.
Menurut laporan itu lagi, juruterbang berkenaan mempunyai pengalaman luas dan pernah mengendalikan 36 penerbangan dalam dan luar Kozhikode, selama setahun sebelum kemalangan.
“Dengan pengalaman ini mungkin mengakibatkan rasa tidak berpuas hati kerana terlalu yakin sehingga mempengaruhinya membuat keputusan,” katanya.
Malah, sebelum kemalangan, pengkritik membangkitkan persoalan mengenai keadaan bahaya di lapangan terbang itu.
Kozhikode dianggap lapangan terbang rumit kerana ia dibina di atas bukit dan landasannya seperti permukaan meja kerana curam dihujungnya. – AFP