Semasa
Jurucakap kerajaan Somalia cedera dalam pengeboman berani mati
MOGADISHU : Seorang jurucakap kerajaan Somalia cedera dalam pengeboman berani mati yang didakwa angkara pertubuhan pengganas al-Shabab.
Mohamed Ibrahim Moalimuu menjadi sasaran tunggal dalam serangan Ahad berhampiran kediamannya di ibu negara, Mogadishu. Kenyataan dari pejabat perdana menteri menyifatkan lukanya tidak mengancam nyawa.
Serangan sedemikian dijangka akan meluas apabila ketegangan meningkat di Somalia berhubung pilihan raya kebangsaan yang telah tertangguh hampir setahun.
“Serangan sedemikian adalah tindakan bermotifkan politik semata-mata,” kata Mohamed Abdulaziz Omar, seorang aktivis masyarakat sivil tempatan.
Beliau juga berkata konflik ini juga pernah berlaku dalam pilihan raya yang lalu di negara Tanduk Afrika.
-AGENSI