DuniaSemasa

Jumlah kematian akibat ribut tropika di Filipina meningkat kepada 19 orang

MANILA : Ribut tropika Kompasu telah meragut 19 nyawa manakala 13 orang lagi dilaporkan masih hilang.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional mengesahkan laporan mengenai 11 kematian lain dan satu hilang akibat tanah runtuh dan banjir di wilayah utara Filipina dan Palawan dan jumlah kematian boleh meningkat kepada 30 orang.

Sementara itu, hampir 2,000 orang terpaksa dipindahkan ke tempat selamat akibat ribut tropika yang mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh.

Menurut agensi itu, kerosakan paling besar adalah di wilayah utara Filipina. Kemusnahan tanaman pertanian di kawasan itu dianggarkan bernilai AS$9.7 juta (RM40.32 juta).

Badai tropika Kompasu yang melanda Filipina pada Isnin, adalah taufan tropika ke-13 yang membadai negara itu tahun ini.

Taufan dan ribut tropika kerap melanda kepulauan Filipina, yang terletak di lingkaran laluan angin taufan di barat Pasifik, meragut ratusan nyawa dan menyebabkan kemusnahan bernilai berbilion-bilion dolar.

Kira-kira 20 taufan melanda Filipina setiap tahun. Daripada pulau-pulau yang membentuk Filipina, Luzon utara dan Visayas timur di Filipina tengah adalah yang paling sering terjejas.

 

Related Articles

Back to top button