Jubli Emas FKPM UiTM Ke-50
SHAH ALAM: Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau dikenali sebagai MassComm telah menyambut ulang tahun ke-50, pada Jumaat lalu.
Bersempena itu, FKPM telah menganjurkan satu program khas yang dinamakan ’50 years, 50 Hours of Mediathon’, iaitu program dengan kerjasama para pelajar, alumni fakulti, pemain industri dan rakan media.
Majlis pra perlancaran Sambutan Jubli Emas Masscomm telah dilangsungkan pada 1 April 2022 sekaligus menandakan permulaan program mediathon yang akan dilaksanakan sepanjang enam bulan dan kemuncaknya diraikan bersama alumni MassComm pada malam gala, September tahun ini.
“Massomm telah melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas sejajar dengan keperluan dan jangkaan industri,” ucap YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Prof. Emeritus Dr. Ibrahim Shah Abu Shah ketika ucapan perasmian.
Beliau menyatakan pihak fakulti giat menggapai teknologi dan mengejar inovasi serta sedikit sebanyak memenuhi keperluan pelajar sekali gus menawarkan pengalaman belajar yang optimal.
“Melalui FKPM, bakat-bakat terpendam pelajar dapat dicungkil, diketengah dan diasah,”
“Saya percaya, setiap kursus dan bidang pelajaran yang ditawarkan fakulti diamati dan dipikul dengan sempurna sebelum pelajar melangkah ke sektor pekerjaan,”
“Mutu graduan dilihat semakin dipertingkat dengan adanya usaha berterusan pihak fakulti dalam memupuk graduan mampan,” katanya dalam Majlis Pelancaran Laman Web DNA MassComm dan Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas MassComm.
Menurut Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Prof. Madya Dr. Massila Hamzah, beliau amat bersyukur kerana selama lebih separuh abad, FKPM telah menjadi kebanggaan UiTM dan sudah tidak asing bagi warga media di seluruh Malaysia.
“Peredaran zaman merupakan cabaran besar masa kini lantaran penulisan, penciptaan kandungan dan hasil kerja yang berkualiti merupakan aset utama dikendong oleh graduan MassComm sementelah menjejakkan kaki ke dalam industri,”
“Sehaluan dengan ciptaan teknologi yang semakin mengagumkan, fakulti giat melahirkan graduan yang berdaya saing, memenuhi kehendak industri dan saling melengkapi keperluan Keluarga Malaysia secara menyeluruh,” katanya.
Sejarah UiTM bermula apabila ditubuhkan pada tahun 1956 sebagai Dewan Latihan RIDA dan membuka pintu kira-kira 50 pelajar, majoriti yang beragama Islam dengan tumpuan membantu orang Melayu luar bandar.
Pada 1972, UiTM telah menubuhkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dengan kerjasama Universiti Ohio dan bermula sebagai Kajian Sebaran Am yang pertama di Malaysia serta menawarkan program akademik yang sejajar dengan perkembangan dalam pelbagai bidang komunikasi dan media.
Antara alumni MassComm UiTM ynag berjaya ialah Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim,28, selebriti terkenal tanah air, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan.
Semoga MassComm dapat melahirkan graduan yang professional, berkemahiran dan berakhlak mulia pada masa akan datang serta menyumbang kepada pertumbuhan negara di samping menjadi peneraju industri media dan komunikasi dari dalam dan luar negara.
UiTM di hatiku.
Oleh: Wartawan Pelatih,Hasanah Yusof