Semasa
JPJ batal permit institut memandu jika ramai pemandu terlibat kemalangan
KOTA BHARU : Kod khas pada lesen memandu bagi mengesan institut latihan di mana ramai pemandu gagal mematuhi lalu lintas sehingga menyebabkan kemalangan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim, berkata tindakan boleh dikenakan terhadap pengusaha atau pemiliknya sekiranya ramai pemandu dari sesebuah institut itu terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Menurutnya, pembatalan permit institut memandu terbabit serta menarik balik sijil tenaga pengajar adalah antara tindakan yang boleh dikenakan.
Beliau berkata, kod berkenaan akan diperkenalkan pada pelancaran program e-testing April depan.
“Kita dalam proses bagi kod dalam lesen memandu… kita boleh tahu calon (pemandu) dapat dari mana lesen.
“Jika mereka didapati lakukan kesalahan, terlibat kemalangan, kita akan tahu mereka dapat lesen di institut memandu yang mana. Kita akan buat audit, pengesanan untuk tahu jika ada masalah dengan institut terbabit.
“Tindakan mengikut Kaedah 27 di bawah Kaedah-Kaedah Sekolah Memandu 1992 boleh dikenakan iaitu permit institut memandu boleh digantung atau dibatalkan,” katanya.
Beliau berkata, ia sebahagian pembaharuan JPJ ke arah pendigitalan dengan modul berkenaan dapat mengenal pasti kelemahan di peringkat institusi memandu.