Semasa

JPA wajibkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan ambil vaksin

PUTRAJAYA : Jabatan Perkhidmatan Awam akan mewajibkan semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk mengambil vaksin.

Ia bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

JPA dalam satu kenyataan berkata, hal ini selaras dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 November 2021.

“Dalam tempoh ini pegawai yang belum divaksin hendaklah hadir secara walk-in ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh Kerajaan.

“Bagi pegawai yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, pegawai hendaklah mengemukakan kepada Ketua Jabatan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sekiranya pegawai awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan maka pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Mengulas lanjut, ia selaras dengan peraturan semasa yang berkuatkuasa.

Dalam pada itu, semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button