
PUTRAJAYA : Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, antara terminal terbaik di dunia?
Sehubungan itu rakyat di negara ini digesa turut serta dalam undian itu.
Rayuan khas itu dikeluarkan oleh Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) menerusi hantaran ringkas disiarkan dalam akaun media sosial rasminya semalam.
“Hari ini, ketika industri pelancongan udara berkembang, kami secara berterusan melakukan yang terbaik untuk mengekang impak alam sekitar dengan melaksanakan aneka inisiatif hijau.
“Undilah demi Malaysia dan pilihlah KUL untuk kategori Lapangan Terbang Terbaik di Skytrax 2021,” kata catatan pentadbir agensi berkenaan dengan tanda pagar #skytrax #KUL #airport.
Ia turut menyertakan rujukan pautan laman pengundian tersebut iaitu https://www.worldairportsurvey.com/Surveys/Airport/best_airport.html?fbclid=IwAR1yYyvcnVldt7wEqFPiaxeemqw4nskVtbtoVN2BMyRdNHtFgUUp3COtUp4
Anugerah Lapangan Terbang Skytrax mula diperkenalkan sejak 1999 berdasarkan bancian bebas tahap kepuasan pengguna melibatkan lebih 500 buah terminal udara di seluruh dunia.
Dianggap ala Oscar bagi industri penerbangan awam global, anugerah berprestij itu tahun ini turut ada kategori baharu untuk lapangan terbang paling baik kekang pandemik Covid-19.
Penganjurnya, Skytrax berpusat di Britain turut buat penarafan tahunan untuk operator udara terbaik sejagat dan menjadi rujukan pelbagai pihak dalam sektor penerbangan antarabangsa.
Tahun ini, anugerah lapangan terbaik dunia kekal disandang Changi, Singapura manakala Haneda di Tokyo, Jepun merampas tempat kedua daripada Incheon, Seoul, Korea Selatan.
Kali terakhir KLIA memasuki dalam senarai terbaik ialah pada 2001 untuk muncul naib juara di belakang Chek Lap Kok, Hong Kong, China dengan Changi ketika itu di kedudukan ketiga.
KLIA tahun ini jatuh teruk ke-63 berbanding ke-54 pada 2019, ke-44 (2018), ke-34 (2017), ke-24 (2016), ke-19 (2015), ke-20 (2014), ke-14 (2013), ke-8 (2012) dan ke-9 (2011).
KLIA dibuka pada 1998 bersempena dengan Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada tahun itu bagi menggantikan fungsi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.