Banjir

Johor Bahru, Kulai, Mersing, Segamat, Kota Tinggi masih bah

3,145 dipindahkan di 38 PPS ( setakat 10:00 pg)

JOHOR BAHRU :  Hujan lebat yang melanda beberapa daerah di negeri ini sepanjang hari semalam menyaksikan jumlah mangsa banjir kembali meningkat secara mendadak dengan seramai 3,145 orang ditempatkan di 38 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah yang direkodkan setakat pukul 8 pagi itu menyaksikan sebanyak lima daerah terjejas akibat banjir.

Setakat pagi tadi daerah terlibat adalah Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Segamat dan Kulai.

Memetik KOSMO R.Vidyananthan berkata, ekoran hujan lebat yang berlaku sepanjang hari semalam, jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat menyaksikan seramai 3,145 orang daripada 904 buah keluarga ditempatkan di PPS seluruh Johor.

“Daerah paling teruk terjejas adalah Kota Tinggi dengan seramai 1,848 mangsa, diikuti Johor Bahru (1,056 mangsa), Segamat dan Kulai masing-masing 94 mangsa dan Mersing (52 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Tambah beliau, jumlah mangsa yang dicatat setakat pukul 8 pagi hari ini itu merupakan peningkatan mendadak berbanding jumlah mangsa yang dicatatkan pada pukul 8 malam semalam iaitu seramai 1,604 mangsa.

“Jabatan Meterologi Malaysia turut menjangkakan hujan lebat akan berterusan di daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai, Pontian dan Batu Pahat.

“Sementara itu beberapa daerah lain seperti Segamat dan Mersing turut berada dalam kategori buruk dengan hujan turut dijangka berlaku hari ini,” ujarnya.
Vidyananthan turut memberitahu, setakat pukul 8 pagi hari ini juga, tiga jalan ditutup kepada pengguna iaitu Jalan Tanah Abang di Mersing, Jalan Haji Suhud di Johor Bahru, dan Jalan Felda Semenchu di Kota Tinggi.
Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ekoran negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 ketika ini.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button