DomestikSemasa

Jiran-jiran bersatu hati, menjaga Opah yang tinggal sendiri

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas dikenali sebagai Opah terpaksa melalui kehidupannya di atas katil atas faktor kesihatan.

Opah atau nama sebenar Jamaliah Mohamed, 69, yang tinggal berseorangan, diurus oleh jiran-jirannya yang baik hati di PPR Batu Muda.

Menurut seorang penjaga yang juga Biro Kebajikan penduduk PPR Batu Muda, Nur Normala Munfit, 41, berkata sebelum ini, opah mendakwa beliau menghidap penyakit kencing manis, namun selepas mendapat pengesahan doktor, beliau tidak mempunyai sebarang kesan penyakit dalaman seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Opah sekarang berada bawah jagaan saya dan rakan untuk membantu beliau meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun keadaannya yang tidak begitu sihat dengan selera makannya kurang baru-baru ini merisaukan kami.

“Saya dan juga rakan jagaan tidak tahu semampu mana kami dapat memberi penjagaan yang serba sedikit ini terhadap opah yang lebih memerlukan penjagaan lebih rapi seperti di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau ditemui semasa Program Mobile Clinic anjuran MAIWP dan MAPIM Malaysia. Pihak MAPIM yang menerima maklumat tentang keadaan Opah bergegas ke rumah beliau bersama dengan seorang doktor yang bukan sahaja memberikan pemeriksaan percuma, malah MAPIM turut memberikan bantuan berupa kotak makanan dan lampin untuk beliau.

Tambah Normala, Opah mendapat bantuan bulanan daripada Baitulmal sejak november tahun lepas, sumbangan daripada penduduk dan rawatan percuma daripada hasil program Mobile Clinic Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Zakiah, 39, mengurus opah daripada segi barang keperluan dan kebersihan manakala Normala membantu penjagaan makan minum beliau. Kos penjagaan Opah dalam anggaran RM300 ke RM400 sebulan.

“JKM dah minta kami untuk bawakan Opah dan memohon tandatangan daripadanya,” ujar Normala yang masih berusaha membantu Opah.

Normala berharap, ramai yang akan memberikan bantuan dan sumbangan kepada Opah, kerana selama ini lebihan kos penjagaan diserap oleh jiran-jiran Opah yang juga bukannya orang senang.

 

Oleh Faiz Danial -Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button