KUALA LUMPUR : Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjaya mengawal penularan Covid-19 di negara ini yang mana jika tidak dilaksanakan jumlah pesakit dijangkiti boleh mencecah ke angka empat juta.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika dilihat dari pengalaman ketika melaksanakan PKP dari sudut kesihatan memang berjaya namun ia memberi impak yang tinggi kepada ekonomi negara.
Tan Sri Dr Noor Hisham berkata demikian pada sidang media Covid-19, hari ini.
Tambahnya walaupun kerajaan memberi sedikit kelonggaran tetapi perlu kepada pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan Covid-19.
“Masalahnya jika tiada kepatuhan tinggi dalam masyarakat akan berlaku penularan.
“Sejak 7 Disember hingga hari ini, dalam tempoh tiga minggu jika masih boleh bertahan kebolehjangkitan akan dapat diturunkan yang mana ketika ini nilai kebolehjangkitan pada kadar 1.0,”
Beliau berkata, tindakan seterusnya akan melindungi kumpulan rentas, mukim, daerah dan negeri.
“Sebagai contoh di Sarawak nilai kebolehjangkitannya amat memberangsangkan iaitu kurang 0.4 di mana kes terkawal. Jadi mereka yang pulang ke Sarawak menyambut Krismas dan bercuti perlu patuh dengan kuarantin 10 hari.”
“Sarawak juga memperketatkan kawalan sempadan dan lorong tikus bagi mengelakkan warga asing masuk dan inilah kaedah terbaik,” katanya. – BH