Jenazah Kapten Mohamad Affendi selamat dikebumikan
ROMPIN : Jenazah Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terkorban dalam insiden pesawat Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah malam tadi.
Jenazah Allahyarham Mohamad Affendi, 31, tiba di tanah perkuburan itu pada jam 7.40 malam dan majlis pengebumian dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan itu, selesai kira-kira sejam kemudian.
Jenazah Allahyarham sebelum itu dibawa ke Masjid Besar Muadzam Shah, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kediaman keluarganya untuk disembahyangkan.
Upacara pengebumian disempurnakan dengan istiadat ketenteraan menyaksikan keranda yang membawa jenazah dilitupi jalur gemilang dan diusung oleh anggota tentera berpakaian istiadat.
Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Asghar Khan Goriman Khan serta beberapa pegawai kanan TUDM turut hadir memberi penghormatan terakhir.
Turut hadir kedua ibu bapa Allahyarham Bustamy Tuakal, 70, dan Razilah Daud, 52.
Selesai pengebumian, Mohd. Asghar Khan menyerahkan Jalur Gemilang kepada isteri Allahyarham Mohamad Affendi, Nurul Izzati Shari, 31, disusuli tabik hormat sebagai tanda penghormatan terakhir.