RIYADH : Selang masa bagi pengeluaran dua permit umrah ditetapkan selama 10 hari dibenarkan untuk semua peringkat umur para jemaah, termasuk jemaah dari luar negara.
Menurut laporan Saudi Gazette, jumlah maksimum yang dibenarkan untuk jemaah luar melakukan umrah adalah sebanyak tiga kali sepanjang 30 hari berada di negara tersebut.
“Jemaah yang sudah mendapat permit dan ingin memohon permit kedua boleh membuat permohonan menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna.
“Permohonan itu boleh dibuat pada penghujung tempoh 10 hari yang ditetapkan selepas melakukan umrah pertama,” jelas kementerian itu dalam kenyataan.
Keputusan tersebut dibuat susulan pelaksanaan semula langkah peraturan Covid-19 berikutan lonjakan kes jangkitan.
Terdahulu, semua jemaah berusia 12 tahun ke atas, sama ada dari dalam dan luar negara yang sudah lengkap vaksnasi dibenarkan menunaikan umrah dan solat di Masjidilharam.
Namun, jemaah tidak boleh mengubah tarikh permit yang dimohon dan untuk melakukannya, mereka perlu membatalkan permohonan terdahulu dan membuat permohonan baharu.
Pihak berkuasa Arab Saudi melaksanakan selang masa selama 15 hari untuk melakukan umrah kali kedua sebelum membatalkannya.
-AGENSI