DuniaSemasa

Jemaah di Singapura mula solat rapat saf

SINGAPURA : Sejak solat Subuh pagi tadi, umat Islam di Singapura sudah mula diberi kebenaran untuk solat berjemaah dengan merapatkan saf.

Ia seiring dengan pengumuman Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) untuk melonggarkan beberapa langkah-langkah pengurusan selamat Covid-19.

Ia bermakna peraturan penjarakan fizikal tidak lagi diperlukan di masjid untuk mengerjakan solat berjemaah dan kegiatan lain.

Menurut laporan Berita Mediacorp, papan tanda mengenai jarak selamat dan penanda di dewan solat telah ditanggalkan di semua masjid di Singapura selepas solat Isyak semalam bagi memudahkan aturan baru tersebut.

Pengerusi Eksekutif Masjid bagi Masjid Al-Muttaqin, Mohd Fairus Abd Manaf berkata, pihaknya menghargai usaha kakitangan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus membuat persiapan di masjid itu.

“Walaupun sekarang musim cuti sekolah, kakitangan dan sukarelawan kami bekerja keras untuk memastikan masjid bersedia melaksanakan perubahan untuk jemaah serta mengimbangi masa bersama keluarga.

“Saya berbesar hati dengan semangat positif mereka untuk tampil dan menyumbang masa dan tenaga mereka,” katanya.

Pelaksanaan langkah-langkah baru itu juga bermula serentak dengan tarikh di mana umat Islam di Singapura menyambut malam Nisfu Sya’ban.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataan media juga berkongsi orang ramai boleh mengalu-alukan ketibaan bulan Ramadan dan melaksanakan ibadah dan kegiatan di masjid dengan peraturan yang dilonggarkan itu.

Walau bagaimanapun, jemaah masih perlu menempah slot bagi solat Jumaat.

Jemaah juga masih perlu terus memakai pelitup muka serta membawa keperluan solat masing-masing seperti sejadah.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button