DuniaSemasa

Jemaah antarabangsa syukur boleh tunai umrah

RIYADH: Jemaah umrah dari luar negara luah rasa syukur kerana dibenarkan menunaikan ibadah itu selepas beberapa kali ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Berdasarkan laporan Arab News, 15 Ogos lalu, kumpulan pertama jemaah yang lengkap di vaksin tiba di Arab Saudi selepas sekatan sementara ditarik balik.

Menurut seorang jemaah dari Amerika Syarikat (AS), Ishfaq Iqbal berkata,  kerajaan Arab Saudi berusaha membenarkan mereka menunaikan umrah dan memberi layanan terbaik kepada jemaah luar negara.

Jemaah dari Algeria, Abdul Majid Al-Jazaaeri, pula memuji kerajaan Arab Saudi berhubung perkhidmatan mengendalikan umrah kepada jemaah antarabangsa.

“Petugas menawarkan bantuan kepada golongan warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan untuk bergerak dengan lebih lancar,” katanya.

Kesemua jemaah umrah dari luar negara diminta membawa sijil vaksinasi dari negara masing-masing sebagai pengesahan serta menyatakan penerimaan suntikan vaksin yang diiktiraf oleh Arab Saudi.

Sementara itu, sebanyak 4,000 payung diagihkan kepada jemaah dan petugas di Masjidil Haram bagi melindungi diri mereka daripada cuaca panas terik.

Setakat ini, Arab Saudi membenarkan rakyat dari luar negara menunaikan ibadah umrah dengan syarat lengkap vaksin Covid-19 iaitu Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson (J&J).

Imunisasi lengkap membabitkan vaksin keluaran China pula dikehendaki berserta dos ‘penggalak’ sama ada suntikan Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau J&J.

Ketibaan melalui agensi umrah yang ditauliahkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Arab News

Diterjemah oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button