Jelajah Peduli Ummah Santuni Komuniti Madani di Kg Kuantan, Klang
KLANG, 21 Oktober – Program Jelajah Peduli Ummah diteruskan dengan aktiviti Santuni Komuniti Madani di Kampung Kuantan, Klang. Program ini adalah hasil inisiatif Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), dengan tujuan menyantuni golongan asnaf di kawasan tersebut.
Setiausaha Agung MAPIM, Kolenel Bersekutu (PA) Tuan Haji Faris Hussain, tiba di lokasi seawal jam 8 pagi dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Ybrs. Dr. Ridzwan Bakar. Acara dimulakan dengan sesi lawatan ke rumah-rumah asnaf, yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, YB Danial Al Rashid Haron, dan wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Delegasi yang dipimpin oleh Dr. Ridzwan dan Hj. Faris dibawa meninjau beberapa kawasan kampung, termasuk lokasi-lokasi tanaman kunyit yang menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan komuniti setempat. Lawatan ini diadakan bukan sahaja untuk menyampaikan bantuan, tetapi juga untuk memahami lebih lanjut keperluan ekonomi dan sosial penduduk setempat.
Sebanyak 100 pek makanan (food pack) telah disediakan oleh MAPIM dengan kerjasama YWM, dan penyerahan simbolik food pack ini dilakukan kepada wakil JPKK Kampung Kuantan. Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban penduduk asnaf, terutamanya dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.
Dalam ucapannya, Tuan Haji Faris turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini, termasuk ZUS Coffee, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Cinta Gaza Malaysia (CGM), dan Yayasan Wakaf Malaysia atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Beliau berharap, melalui Jelajah Peduli Ummah ini, bantuan yang disalurkan dapat terus memberi impak positif kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.
Program ini juga menekankan pentingnya kerjasama strategik antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan pihak korporat dalam memastikan bantuan yang diberikan dapat sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Jelajah Peduli Ummah merupakan inisiatif tahunan yang bertujuan menyantuni komuniti terpinggir, asnaf, dan mereka yang terjejas akibat bencana. Program ini, yang turut mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak, dijadualkan berlangsung dari Oktober 2024 hingga Februari 2025, melibatkan pelbagai aktiviti bantuan dan sokongan kepada masyarakat di seluruh negara.