Program “Subuh Macam Jumaat” anjuran MAPIM Malaysia dengan kerjasama JAWI sempena Jelajah Peduli Ummah dan Santuni Madani di Masjid Badli Shah Awal pagi tadi mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat, dengan kehadiran ramai jemaah yang memenuhi ruang masjid.
Program dimulakan dengan solat Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Syeikh Abdul Karim. Beliau turut menyampaikan kuliah Subuh yang menarik minat para hadirin dengan kupasan ilmu yang bermanfaat dan penuh inspirasi. Kehadiran tokoh ulama ini memberikan semangat dan keinsafan kepada para jemaah yang hadir seawal pagi.
Acara diteruskan dengan sesi cabutan bertuah yang disertai dengan meriah oleh para jemaah. Anak-anak bawah usia 17 tahun juga diraikan dengan pemberian sampul hadiah sebagai tanda penghargaan dan motivasi buat generasi muda. Majlis diakhiri dengan jamuan ringan di perkarangan masjid, memberikan peluang kepada para penduduk untuk beramah mesra sambil menikmati hidangan yang disediakan.
Seterusnya, program diteruskan dengan pelaksanaan Dapur Bergerak (Mobile Kitchen) dan Klinik Bergerak (Mobile Clinic) bermula pada jam 9 pagi. Aktiviti ini akan diikuti dengan agihan kotak bantuan kepada golongan asnaf sekitar Sungai Besar pada jam 11 pagi.
MAPIM Malaysia mengucapkan terima kasih kepada rakan kerjasama seperti Cinta Gaza Malaysia dan Zus Coffee serta seluruh sukarelawan dan para dermawan yang menyokong usaha murni ini. Program sebegini diharapkan dapat mengukuhkan ukhuwah dan membantu golongan yang memerlukan di kawasan Sungai Besar.