KUALA LUMPUR : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) dan Putrajaya, untuk melaksanakan solat hajat dan doa selamat, susulan penularan COVID-19.
Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail berkata, solat hajat itu disaran diadakan selepas solat Maghrib selama tiga hari bermula esok.
Solat hajat juga disaran dilakukan selepas Solat Jumaat pada Jumaat ini.
“JAWI menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di atas titah perintah agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah, agar penularan wabak COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera,”
Mohd Ajib dalam satu kenyataan hari ini berkata , ia bertujuan memohon kepada Allah agar penularan pandemik ini dapat diatasi segera. – BERNAMA