InspirasiKerohanianSemasa

Jasa terlalu besar, tegas pendiriannya dalam soal agama

Biar jasa jadi kenangan, pahala mengalir mengabdi diri dalam dunia Islam

BANGI : Hampir sebulan pergi meninggalkan kita, nama Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Harussani Hj. Zakaria masih kekal dalam ingatan sebagai ikon Islam terkemuka negara yang sentiasa dihormati dan disanjungi oleh rakyat juga pemimpin negara sejak Allahyarham mula menjadi mufti Perak pada tahun 1985.

Selain menyandang jawatan Mufti Perak, Allahyarham memang cukup dikenali sebagai seorang yang tegas dalam pendiriannya dalam isu-isu yang melibatkan agama Islam seperti isu murtad, penganjuran karnival Sure Heboh, Majlis Perundingan Antara Agama dan penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam.

Ketokohan Allahyarham dalam membicarakan isu-isu agama Islam telah melayakkan beliau untuk menerima Tokoh Ma’al Hijrah 2008. Selain itu, beliau turut dikurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak pada tahun 1986, Seri Paduka Mahkota Perak 1999, Darjah Kehormat Doktor Syariah 2001, dan Panglima Setia Mahkota 2009.

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani tidak lupa memberikan sumbangan beliau dalam bidang keilmuan dan kemasyarakatan.

Dalam bidang penyelidikan dan penulisan, Allahyarham telah menghasilkan Irsyad Hukum yang menyentuh persoalan hukum semasa, Muamalah Hidup Islam iaitu kompilasi 13 tajuk kertas kerja, Syaitan Musuh Insan, Hukum-Hukum Perkahwinan, Amalan di Bulan Ramadhan Mengikut al-Quran dan as-Sunnah, Rukyah dan Hisab, dan Ibadah Qurban.

Ketegasan beliau dalam isu-isu yang melibatkan agama Islam ini sebenarnya bukan lagi menjadi rahsia, sama ada di kalangan sabahat handai, para penyokong, mahupun mereka yang tidak sependapat dengan beliau.

Selaku Ketua Hakim Syarii Pulau Pinang, Tan Sri Harussani banyak menulis penghakiman mahkamah syariah dan sebilangannya direkodkan dalam Jurnal Hukum. Kes-kes di bawah bidang kuasa mahkamah syariah ini dibahagikan kepada beberapa kategori meliputi pertikaian dalam isu tuntutan mutaah, nafkah idah dan harta sepencarian.

Beliau juga seringkali dijemput memberikan ceramah agama, menjadi ahli panel forum, dalam seminar dan majlis-majlis yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan kerajaan, swasta, dan orang perseorangan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan, dan juga antarabangsa.

Antara seminar dan persidangan yang pernah disertai oleh Allahyarham ialah Persidangan Ulama’ Nusantara : Islam Di Alaf Baru, Menggaris Agenda Alaf Baru, Seminar Pemindahan Ginjal dan Cabaran dan Kemajuan Yang Dihadapi Islam di Rantau Ini, dan Dialog Agama Di Antara Penganut Islam, Yahudi, dan Kristian.

Sumbangan yang begitu besar kepada agama, bangsa, dan negara telah membuka mata Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam kepada allahyarham pada istiadat konvokesyen UPSI kali yang ke-12 (2010).

Sesungguhnya, sumbangan Tan Sri Dato’ Seri Dr. Harussani Haji Zakaria yang begitu bernilai ini terbukti keberkesanannya bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran mahkamah syariah di Malaysia.

Pemergian Allahyarham Mufti Perak itu merupakan satu kehilangan kepada dunia dakwah bukan sahaja buat negeri Perak malah kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Sumbangan berharga inilah sewajarnya dicontohi dan disambung oleh generasi kini.

Semoga Allah merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amiin

Al- fatihah

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button