KerohanianSemasa

Jangan siksa orang tuamu dengan kerinduan

Aidilfitri menjadi hari di mana kita dianjurkan untuk bermaaf-maafan. Pastinya ramai yang sudah memulakan perjalanan atau telah pun berada di kampung halaman masing-masing.

Namun, ada juga yang tidak dapat balik beraya atas faktor-faktor tertentu seperti perlu bekerja, atau kerana wujudnnya konflik yang pernah terjadi bersama orang tua.

Menerusi satu ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Syariful Mahya Lubis, seorang pendakwah dari Indonesia, beliau berulang kali mengingatkan para jemaah untuk tidak menyiksa orang tua dengan kerinduan.

Kredit foto Madani TV

“Bilapun orang tuamu menginginkanmu untuk pulang, pulanglah, tinggalkan pekerjaan, tinggalkan isteri dan anak-anak, kembalilah.”

“Jangan siksa ibu dengan kerinduan, dia telah tersiksa sewaktu mengandungkan, melahirkan, menyusukan kita,” katanya penuh kesayuan.

Tambahnya lagi, ibu kita juga merupakan seorang ‘pendusta’ kerana sering mengaku sihat sewaktu sakit, mengaku kenyang sewaktu lapar hanya kerana ingin kita tenang  dan kita terlalu bodoh kerana percaya dengan semua pendustaan ini.

“Sekiranya anda wafat jemaah sekalian, ketahuilah tidak ada air mata yang paling deras untuk anda lebih daripada seorang ibu walaupun hendak dibandingkan dengan air mata isteri dan anak-anak.”

Beliau juga mengingatkan para jemaah untuk sentiasa merendah diri di hadapan orang tua walau apa pun pangkat dan tingginya pendidikan kita.

Sesuai dengan firman Allah SWT

وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا

Maksudnya: Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.”

(Surah al-Isra’: 24)

“Engkau berpendidikan tinggi sampai ke luar negeri, namun ibumu hanya orang bodoh yang tinggal di desa, namun Allah mengatakan ‘rendahkan dirimu di hadapan ibumu’.”

“Engkau jawatan tinggi dan pegawai negeri, sementara ibumu hanya petani miskin di sudut kampung, kata Allah ‘rendahkan dirimu untuk kedua orang tuamu.”

Beliau turut berkongsi kisah Imam Abu Hanifah yang mengelak daripada menjawab persoalan berkaitan hukum yang diajukan oleh ibunya tetapi menyuruh Abu Yusuf menjawab persoalan itu padahal Abu Hanifah ialah guru kepada Abu Yusuf.

Setelah Abu Hanifah disoal oleh Abu Yusuf berkaitan pernuatannya itu, Abu Hanifah menjawab ‘sekiranya aku menjawab persoalan ibuku, seolah-olah aku telah menjadi guru kepada ibuku, dan aku tidak mahu meninggikan diriku di hadapan ibuku.’

Jadi, dapatlah fahami bahawasanya ibu dan bapa ialah insan yang amat penting dalam kehidupan dan tidak ada sesiapa yang boleh menggantikan mereka.

Bersempena dengan bulan Syawal ini, eloklah kita pulang menjenguk wajah kedua insan hebat ini sementara mereka masih ada dan dapat didakap.

 

Related Articles

Back to top button