Jangan sia-siakan amalan puasa 6
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
Dalam kemeriahan kita meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, jangan lupa melaksanakan puasa enam. Kenapa puasa enam ini sangat dituntut untuk kita mengerjakannya?
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud,
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal. Maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun.” Hadis Riwayat Muslim
Masya-Allah, betapa sayangnya Allah SWT kepada hamba-Nya sehingga memberikan ganjaran pahala sebanyak berpuasa selama setahun kepada mereka yang melaksanakan puasa enam di bulan Syawal.
Namun dalam kita berpuasa enam, jangan kita sia-siakan amalan tersebut.
Bagaimana amalan puasa enam kita akan menjadi sia-sia?
Budaya kita yang suka tanya orang dah habis puasa enam ke belum? Dan kegembiraan kita untuk memberitahu orang yang kita sudah selesai melakukan puasa enam.
Ia merupakan dua perkara yang berisiko kerana ada kemungkinan dua perbuatan ini menimbulkan riak yang akan menghapuskan amalan ibadah kita.
Malah, kita perlu sedar dalam banyak amalan yang kita lakukan, pahala puasalah yang paling besar Allah kurniakan kepada hamba-Nya.
Ini kerana, amalan puasa ini adalah ibadah yang tidak ada siapa yang tahu melainkan kita sendiri yang beritahu.
Tidak seperti kalau kita solat, orang nampak, menunaikan umrah atau haji orang tahu, bersedekah pun orang nampak kita lakukan.
Tetapi kalau berpuasa? Tiada siapa yang tahu melainkan diri kita.
Justeru itu, menjadi peringatan buat kita, agar tidak menjadikan puasa enam ibarat piala yang perlu ditayangkan kepada umum. Biarlah ia istimewa dan hanya Allah mengetahuinya.
Jadi marilah sama-sama kita melaksanakannya bagi meraih ganjaran pahala yang Allah SWT janjikan kepada hamba-Nya.