Semasa

Jangan mengeluh di hadapan manusia

Ada garis halus antara mengeluh dan berkongsi masalah dengan manusia. Memang kita sedia maklum ALLAH SWT menyukai mukmin yang kuat dan pantang mengeluh. Sekiranya terjadi masalah dia tetap sabar dan tawakal kerana yakin Allah hanya memberikan hal terbaik untuk hamba-Nya.

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah dari mukmin yang lemah dan semuanya baik. Berusahalah untuk meraih apa yang bermanfaat bagimu, mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan lemah, jika menimpamu sesuatu hal, jangan katakan seandainya aku lakukan ini dan itu, akan tetapi katakanlah: “Allah telah mentaqdirkannya dan apa yang Dia kehendaki Dia lakukan”, kerana ucapan “seandainya” akan membuka (memberi peluang bagi) perbuatan syaitan”. (HR. Muslim).

Namun ketika di media sosial, apabila ada rakan-rakan yang menulis status yang terlihat mengeluh dengan ujian, jangan terus kata mereka mengeluh. Mungkin mereka tidak tahu bahawa mengeluh di hadapan manusia itu bukan perkara terpuji. Ataupun dia tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalahnya. Mungkin juga dia sebenarnya sedang berkongsi masalah dan berharap ada rakan-rakan yang tahu cara menyelesaikannya.

Jangan dimarah dan sebaik-baiknya hubungi melalui mesej dan tanya apa masalah mereka selain meminta orang itu banyakkan berdoa kepada Allah.

Ini kerana apabila menghadapi masalah, perkara pertama yang sangat dianjurkan ialah ‘mengeluh’ di hadapan Allah. Kita diminta berdoa.

Qoddarallahu wa maa syaa-a fa’al.

 قَدَّرَ اللهُ وَماَ شَاءَ فَعَلَ

“Allah telah mentaqdirkannya dan apa yang Dia kehendaki Dia lakukan”.

‘Mengeluhlah’ dalam doa. Beritahu segala kelemahan kita, segala kekesalan kita kepada Yang Maha Pengasih.

“Hendaklah di antara kalian mengadukan segala urusannya hanya kepada Allah saja, walaupun hanya tali sandal yang putus.” (HR. Tirmidzi).

Kemudian minta pandangan dan nasihat sekiranya masalah yang dihadapi itu berkaitan masalah teknikal. Misalnya masalah kewangan, hutang, kesihatan ataupun dengan kerja.

Insya-Allah, akan sentiasa ada jalan penyelesaian untuk setiap masalah.

Related Articles

Back to top button