Jangan abai tanggungjawab mengundi
Usah sambil lewa tidak tunai undi atau rosakkan undi
Bahang pilihan raya sudah pun terasa.
Pengundi yang layak di Malaysia pasti tidak sabar untuk turun mengundi bagi menentukan tampuk pimpinan baharu yang bakal menerajui kerajaan negara.
Namun, masih ada segelintir yang mungkin bercadang untuk tidak mengundi atau ingin merosakkan undi kerana keliru dengan pilihan yang ada.
Pilihan raya merupakan satu sistem demokrasi membabitkan warganegara yang cukup syarat untuk memilih calon-calon yang bertanding sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen.
Pada 15 Disember tahun lalu, telah berkuat kuasa bagi mereka yang berumur 18 tahun didaftarkan secara automatik sebagai daftar pemilih.
Hukum mengundi dalam Islam
Memetik kata-kata bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria, umat Islam tidak boleh mengasingkan diri dari sistem mengundi sama ada suka mahupun tidak.
Majoriti ulama meletakkan hukum mengundi sebagai kesaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon diundi adalah layak memegang tanggungjawab sebagai pemerintah.
Hal ini bertepatan dengan pendapat yang digunakan oleh al-Imam al-Syahid Hassan al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan Profesor Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikhul Azhar Syeikh Ahmad Tayyib dan Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah iaitu:
“Mengundi adalah satu tuntutan bagi memenuhi hak demokrasi negara dan pilihan raya adalah mekanisme yang dijalankan, mengundi merupakan suatu KEWAJIPAN dan ia menjadi tuntutan dalam agama Islam yang pastinya disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.”
Merujuk portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tanggungjawab mengundi bukan hanya sekadar hak yang diberikan kepada semua warganegara Malaysia.
Jawatan pemerintah tertinggi memainkan peranan penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam.
Kini, anak muda turut menggalas tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi.
Bekas Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Professor Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, mengulas ketika musim pilihan raya Mesir tentang hukum mengundi :
“Hukumnya adalah wajib syarak ke atas setiap warga Mesir untuk pergi ke pos-pos undian untuk mengundi. Barangsiapa yang tidak pergi maka dia melakukan dosa di sisi Allah (berdasarkan ayat al-Quran): “Janganlah kalian menyembunyikan penyaksian kamu.”[1]
Begitu juga dengan tindakan sesetengah kelompok masyarakat Malaysia yang memilih untuk merosakkan undi.
Ia bukan sahaja kesalahan biasa malah, merosakkan undi ini boleh mendatangkan kerugian kepada ramai pihak.
Justeru, berdasarkan perkongsian oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, hukum merosakkan undi dan tidak mengundi adalah HARAM.