Semasa

Jalan utama Hulu Langat ditutup dua jam sehari

PETALING JAYA : Kerja-kerja pembersihan sampah akibat banjir akan dijalankan setiap hari Isnin hingga Khamis di kawasan perumahan serta bahu jalan.

Oleh itu, kerajaan Selangor mengumumkan bahawa beberapa jalan di sekitar Hulu Langar akan ditutup selama dua jam ketika kerja pembersihan sedang dijalankan.

Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan penutupan akan bermula dari pukul 8 hingga 10 pagi bagi melancarkan proses kutipan sampah oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

“Pada peringkat awal, kita ingin melaksanakan penutupan itu selama dua hari sahaja namun bagi kawasan Hulu Langat kita melakukan penutupan setiap hari kecuali Jumaat hingga Ahad.

“Ini berikutan jumlah sukarelawan pada tiga hari berkenaan sangat ramai, jadi kita tidak mahu mengganggu kerja sukarelawan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, kesesakan jalan di daerah itu adalah disebabkan oleh kehadiran sukarelawan yang ramai serta longgokan sampah yang terbiar lama di bahu jalan dan kawasan perumahan.

Ia menyebabkan operasi kutipan sampah mengambil masa yang lama dan pihaknya terpaksa menambah jumlah hari bagi operasi pembersihan.

Tambah Amirudin, bagi daerah Klang, kerajaan negeri sedang meneliti kemungkinan melaksanakan perkara yang sama (penutupan jalan) di Padang Jawa, Seksyen 16 dan Taman Sri Muda, Seksyen 25.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada kesesuaian dan ia akan umumkan sekurang-kurangnya satu hari awal bagi memudahkan perancangan penduduk sekitar.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button