PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Skuad Musa’adah (bantuan/sokongan) agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama pada Rabu telah menyerahkan sejumlah RM3.033 Juta kepada Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, RM3.033juta itu adalah hasil kutipan daripada Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi di Turkiye & Syria yang telah dibuka sejak Februari tahun ini.
“Alhamdulillah hari ini kita menyampaikan mock cheque sumbangan kutipan tabung bencana yang kita buka sejak februari lalu hasil kutipan daripada orang ramai termasuk pihak berkuasa agama negeri-negeri, Majlis Agama Negeri, Jabatan Agama Negeri dan Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri“.
“Kita berharap bantuan yang kita hulurkan untuk membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria ini inshaAllah dapat sedikit sebanyak membantu kerja-kerja pemulihan terutamanya apabila mereka pada hujung tahun ini akan berhadapan dengan suasana musim sejuk dan kita harap bantuan ini akan dapat membantu mereka membuat persediaan”, kata Datuk Hajah Hakimah ketika ditemubual UmmahToday selepas Majlis ‘Pray for Turkiye Syria’ yang diadakan di Kompleks Islam Putrajaya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Tuan Haji Ruslan Said, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM Tuan Haji Mohamad Kori Jusoh, Puan Rosnita Hamzah yang mewakili Wisma Putra Kementerian Luar Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia (Dr) Sani Araby Al Kahery.
Pada majlis berkenaan, sejumlah RM2juta telah diserahkan kepada Kementerian Luar Negeri melalui sekretariat Human Rights & Humanitarian Division (HRHD) manakala RM1.033juta lagi disalurkan melalui MAPIM Malaysia.
“Pemilihan MAPIM selaku NGO yang kita adakan kerjasama ini adalah berdasarkan rekod-rekod kerjasama yang sebelum ini dimana pihak MAPIM telah berjaya melaksana usahasama JAKIM dalam kerja-kerja baik pulih Masjid & bantuan mangsa bencana tsunami di Palu, Indonesia pada tahun 2018″.
“MAPIM telah berjaya merealisasikan misi bantuan itu dan kali ini kami memilih MAPIM sekali lagi dalam masa sama berharap dapat membantu MAPIM dalam tugas-tugas bantuan kemanusiaan di Turkiye dan Syria“, jelas Datuk Hajah Hakimah.
MAPIM Malaysia akan melaksanakan Misi Bantuan Pasca Bencana Gempa untuk Turkiye dan Syria memahami persiapan musim sejuk yang perlu dihadapi oleh mangsa di sana bermula November 2023 ini.
Media hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 23 orang cedera dalam gempa bumi pada magnitud 5.3 yang menggegarkan selatan Turkiye, kata Menteri Kesihatan Fahrettin Koca pada Khamis.
Gempa kali ini berlaku kira-kira 6 bulan selepas bencana dahsyat era moden melanda negara berkenaan.