Semasa

JAKIM lancar kempen “Hentikan Fitnah di Media Sosial”

PUTRAJAYA :  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan kempen “Hentikan Fitnah di Media Sosial” bagi menyelar perbuatan fitnah di media sosial yang disifatkan semakin tidak bermoral dan mengundang bahaya kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata inisiatif tersebut sangat wajar diwujudkan bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat atau berita yang sahih dan betul.

“Aktiviti yang tidak bermoral di media sosial seperti laporan-laporan berita yang tidak sahih dan kekadang dikitar semula bertujuan bagi memarakkan api kebencian dan kemarahan di kalangan masyarakat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Idris turut menyuarakan kebimbangan terhadap generasi akan datang bahawa gejala fitnah akan terus merebak menerusi media sosial.

“Kita risau barah ini akan merebak kepada generasi muda dan takut akan dibawa oleh anak-anak kita dek kerana melihat contoh yang tidak baik daripada orang-orang dewasa.

“Oleh itu, kita perlu menjadi pemutus kepada mata rantaian fitnah ini agar generasi yang akan datang dapat diselamatkan.

Kredit foto FB Idris Ahmad

“Kesan buruk kepada mereka yang difitnah ini juga akan merosakkan reputasi individu tersebut dan menyebabkan mereka tertekan seterusnya mengundang kepada perkara yang tidak diingini berlaku,” tegasnya.

Tambahnya lagi, usaha murni itu juga memerlukan kerjasama dalam kalangan pemain-pemain media agar ia mampu membantu membawa sebarang kesan positif terhadap isu ini.

“Marilah kita berganding bahu membanteras jenayah fitnah di media sosial semoga ia dapat dihentikan dan dihapuskan,” kata Idris.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button