BanjirSemasa

BALING BANJIR: JAKIM diarah segera selaras bantuan Musa’adah kepada mangsa banjir

SHAH ALAM : Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Hakimah Mohd Yusoff diarahkan untuk segera menyelaras bantuan Musa’adah (sumbangan) jabatan itu kepada mangsa banjir di Baling, Kedah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa beliau turut mengarahkan agensi-agensi hal ehwal Islam di bawah seliaannya turun ke lapangan bagi membantu pihak berkuasa negeri tersebut.

“Saya mengikuti laporan media yang melaporkan kejadian banjir lumpur melanda beberapa kawasan di daerah Baling, Kedah.

“Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan para penduduk yang terlibat dengan ujian tersebut,” menurut kenyataan tersebut.

Idris dalam masa sama turut mendoakan semua pihak yang terkesan dengan bencana alam itu agar tabah menerima ujian ini.

Ummah Today sebelum ini melaporkan bahawa dua kampung di Baling dilanda banjir kilat kira-kira jam 2 petang semalam yang mengakibatkan air Sungai Kupang melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata pihaknya menerima laporan pada jam 6 petang dan menghantar sepasukan anggota APM Baling bagi meninjau lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat penduduk tempatan, air naik sehingga mencecah tingkat 3 bangunan sekolah.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button