JAIPk buka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh isu ritual tolak banjir
IPOH : Ibrahim Mat Zin atau diberi gelaran sebagai Raja Bomoh, akan dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berikutan video yang tular semalam mengenai ritual kononnya boleh menolak banjir di Dataran Pengairan dan Saliran Teluk Intan.
Pengarahnya, Mohd Yusop Husin berkata selain lelaki itu, wanita yang digelar ‘Puteri Zaleha turut akan dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan perkara seumpama ini dan menjauhi amalan yang menjurus kepada khurafat,” katanya.
Video berdurasi selama 25 minit itu tular di laman media sosial yang menunjukkan Ibrahim bersama seorang wanita melakukan ritual tepung tawar menggunakan bahan termasuk beras, kunyit, bunga-bungaan dan daun yang kemudian dihanyutkan ke dalam laut.
Dalam rakaman itu, wanita tersebut menyanyikan lagu Mayang Sari dengan meletakkan kitab suci al-Quran di hadapan mereka.
-Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA