LONDON : Bintang skuasy profesional Mesir, Ali Farag gesa pihak antarabangsa tegas dalam membangkitkan isu penindasan Palestin yang disembunyikan selama beberapa dekad oleh media Barat.
Menurut Farag, penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin ini tidak mendapat perhatian dunia seperti Ukraine kononnya ia tidak sesuai dengan naratif Barat.
Tambah jaguh skuasy itu, memandangkan orang ramai dibenarkan bercakap dan memperjuangkan hak kemanusiaan Ukraine, maka, ia juga merupakan satu peluang untuk membuka mata dunia berkenaan Palestin yang dijajah Israel.
“Kita semua lihat apa yang berlaku di Ukraine, dan tiada siapa yang gembira dengan apa yang berlaku. Tiada siapa yang patut berdepan dengan pembunuhan atau sebarang penindasan.
“Kami tidak pernah dibenarkan bercakap mengenai politik dan sukan, tetapi tiba-tiba sekarang ia dibenarkan. Saya harap orang ramai juga melihat kezaliman yang berlaku di mana jua sekalipun. Sama juga rakyat Palestin yang telah melaluinya sejak 74 tahun lalu.” katanya dalam satu video yang tular di media sosial.
Farag menegaskan apabila dunia diberi ruang memperjuangkan mengenai Ukraine, jadi dunia juga mampu untuk perjuangkan hak yang sewajarnya buat Palestin.