Jutawan yang juga pengasas Alibaba.com dari China, Jack Ma dilaporkan ‘hilang’ selepas mengkritik sistem kewangan China secara terbuka hujung tahun lalu.
Sebelum ini, beliau mendesak supaya kerajaan China melakukan perubahan serta pembaharuan terhadap sistem kewangan republik berkenaan.
Sehingga kini, sudah lebih dua bulan Ma yang dipantau kerajaan China kerana tindakannya itu, tidak kelihatan atau membuat kemunculan di khalayak ramai.
Keadaan itu mencetuskan spekulasi yang mengatakan bilionair China itu ‘hilang’.
Malah, beberapa portal berita antarabangsa turut melaporkan ‘kehilangan misteri’ Ma itu sejak minggu lalu.
Bagaimanapun, terbaharu wartawan dan penyampai CNBC, David Faber, pada Selasa, melaporkan Ma tidak hilang seperti yang diperkatakan banyak pihak.
“Beliau sengaja mengurangkan penampilan umum. Keadaan itu akan berlarutan untuk beberapa lama.” – David Faber
“Beliau mungkin tidak muncul, tapi bukan hilang. Beliau tidak ditangkap, belum ditangkap,” dakwanya yang kerap melaporkan berita mengenai Ma dan perniagaannya sebelum ini.
Faber yang memetik sumber mendakwa, tindakan ahli perniagaan itu berpunca daripada pemantauan yang sedang dilakukan kerajaan China terhadap Alibaba dan satu lagi entiti perniagaan miliknya, Ant Group. – Berita Harian