Semasa

Jabatan Penjara perjelas gambar tular banduan cuci kereta

KUALA LUMPUR : Jabatan Penjara menjelaskan mengenai gambar tular menunjukkan banduan sedang mencuci kenderaan seorang kakitangan jabatan bahawa ia sebahagian daripada program pemulihan banduan Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP).

Jabatan Penjara dalam satu kenyataan berkata setiap pesalah diuji menggunakan ujian fizikal dan mental untuk menjalani BKLP dan dipantau oleh pihak berkuasa penjara selain turut diberi gaji hasil kepada mereka.

“Kebanyakan institusi penjara menawarkan perkhidmatan mencuci kereta, yang dibuka kepada orang ramai pada harga yang berpatutan untuk perkhidmatan berkualiti.

“Komuniti tempatan yang ingin menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan digalakkan untuk menghubungi penjara terdekat untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap program pemulihan banduan jabatan yang menyediakan pekerjaan dan kerjaya kepada banduan selepas dibebaskan,” menurut kenyataan itu.

Tangkap layar yang dikatakan menunjukkan seorang pengawal penjara mengarahkan banduan untuk mencuci keretanya mendapat kecaman meluas daripada orang ramai yang merasakan tahanan itu dipergunakan untuk kepentingan peribadi pegawai itu.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button