DuniaSemasa

Isu serangan terhadap Al-Quran: Malaysia harap Denmark bertindak

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap Denmark dapat mengambil tindakan terhadap kumpulan anti-Islam dan ultranasionalis Denmark yang meningkatkan serangannya terhadap Al-Quran pada Isnin, meskipun mendapat kecaman meluas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar yang mengulangi pendirian kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sedemikian berkata Malaysia akan meneruskan usaha menerangkan kesucian agama Islam kepada dunia.

“Ada antara mereka menggunakan alasan hak kebebasan bersuara, tetapi dalam kebebasan itu perlu ada hadnya. Kita mengharapkan ada tindakan sewajarnya diambil kepada pihak yang melakukan perkara terkutuk ini,” katanya kepada media selepas pra pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 pada Selasa.

Beliau mengulas laporan media berhubung tindakan anggota Danske Patrioter (Patriot Denmark) membakar salinan kitab suci umat Islam di hadapan kedutaan Turkiye, Algeria, Pakistan, Iran dan Indonesia di Copenhagen.

Dr Haji Mohd Na’im berkata pihaknya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) telah mengambil langkah membalas tindakan terkutuk itu melalui penerbitan sejuta naskah Al-Quran untuk diagihkan kepada masyarakat di seluruh dunia termasuk dalam bahasa Sweden dan Denmark.

Menurutnya 2,000 naskah Al-Quran telah diserahkan kepada kerajaan Kemboja ketika lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Mac lepas.

“Pada masa sama RM1.8 juta berjaya dikumpul dari sumbangan orang ramai untuk menerbitkan Al-Quran dalam pelbagai bahasa dan akan diagihkan ke seluruh dunia,” katanya.

 

BACA JUGA
Islamofobia: Dengan berselawat, akan selesai semua masalah

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button