
Tentera Israel bertindak menahan empat kanak-kanak Palestin di hadapan rumah mereka di Bethlehem, Tebing Barat, Rabu lalu.
Empat kanak-kanak yang ditahan merupakan pelajar sekolah Al-Mahd di Bethlehem iaitu Yousef Jamal al-Harimi,15, Adam Ayyad,15, Mansour Saleh Faraj, 16 dan Issa Muhammad Zarina,17.
Kakak kepada mangsa tahanan rambang Zionis, Manar Al-Harimi, menceritakan situasi yang menggerunkan baginya apabila rumahnya diserbu tentera Israel seawal jam 3.00 pagi.
“Mereka mengetuk pintu rumah dengan kuat kebetulan ayah tiada di rumah kerana bekerja,” kata Harimi kepada Middle East Eye.
Tambah Harimi, tentera tersebut memecah masuk rumahnya lalu, memaksa ibunya menandatangani dokumen pengesahan kesihatan anak lelakinya serta pengesahan tiada berlaku keganasan ketika serbuan.
“Youssef cuba untuk menyembunyikan ketakutan dan dia memberitahu kami yang dia pulang tidak lama lagi.
“Kami tidak tahu apa yang dia sedang berhadapan sekarang. Setakat ini, keadaan Youssef masih belum diketahui.
“Youssef hanyalah seorang budak kecil dan tidak pernah ditangkap. Kami mendesak pihak tentera Israel segera melepaskannya.” rayu Harimi.
Tambah saksi keterangan kejadian, Mohammad Ayyad, abang kepada Adam Ayyad yang ditahan sejam selepas Youssef.
Ayyad dan keluarganya terkejut dengan penangkapan rambang itu.
“Dia hanya seorang kanak-kanak yang sepatutnya sekarang ini pergi ke sekolah.” ujar Ayyad.
Keberadaan Adam Ayyad masih menjadi tanda tanya buat seluruh ahli keluarga. Lebih keruh, lokasi penjara turut tidak diketahui.
Setiap tahun, beratus kanak-kanak dan remaja Palestin ditahan dalam serbuan rumah yang berlaku hampir setiap malam.
Sekaligus, melanggar undang-undang hak kemanusiaan HaMoked yang mereka (rejim Zionis) sendiri tetapkan iaitu larangan menahan tanpa soal siasat.
Pada awal bulan September, tentera Israel mengumumkan sedang melancarkan prosedur baru untuk menggantikan penahanan remaja di bawah umur tanpa memberi amaran kepada prosedur memanggil.
HaMoked, yang mengemukakan petisyen untuk mengakhiri praktik itu, menegaskan bahawa pengecualian dan syarat dalam peraturan baru akan membatasi pelaksanaannya.
“Kebanyakan kanak-kanak Palestin di bawah umur yang ingin disoal siasat tidak akan dipanggil tetapi akan terus ditangkap dengan cara yang menggerunkan,” kata HaMoked dalam satu kenyataan pada 3 Ogos.
Menurut data yang dikumpulkan polis Israel, seramai 483 kanak-kanak ditangkap di sekitar Tebing Barat, di mana 383 kanak-kanak ditahan dari kediaman mereka pada tengah malam sehingga awal pagi.
Agensi
Oleh Nurshazlin Shahrom