
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini melaporkan arahan pemindahan Israel kini meliputi kira-kira 14 peratus wilayah Gaza, termasuk perintah baharu di Rafah yang dikeluarkan semalam.
Jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam taklimat media menjelaskan pihak berkuasa Israel telah mengeluarkan arahan pemindahan tambahan meliputi dua peratus kawasan Rafah, yang memberi kesan kepada lima kawasan kejiranan.
“Bersama dengan zon larangan di sepanjang sempadan dan koridor Netzarim, jumlah kawasan yang dikenakan arahan pemindahan kini mencapai anggaran 14 peratus Gaza,” jelas Dujarric.
Menurut data Agensi Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), sekurang-kurangnya 124,000 penduduk terpaksa berpindah akibat arahan terbaru ini, dengan kebanyakan mereka terpaksa berjalan kaki menuju ke kawasan Mawasi. Ramai yang dilaporkan mencari perlindungan di hospital-hospital yang masih beroperasi.
Keadaan kemanusiaan di Gaza semakin buruk dengan laporan menunjukkan 90 peratus penduduk yang disoal selidik tidak mempunyai akses mencukupi kepada air bersih, malah ada yang tidak dapat mencuci tangan selama beberapa hari.
Serangan udara Israel yang dilancarkan sejak 18 Mac lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 730 nyawa dan mencederakan hampir 1,200 orang lain, walaupun perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan sebelum ini dipersetujui.
Secara keseluruhan sejak Oktober 2023, konflik ini telah mengakibatkan lebih 50,000 kematian rakyat Palestin dengan majoriti mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 113,200 orang dilaporkan cedera.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant berhubung tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Sumber : AA