Israel dilaporkan telah menjalin komunikasi rahsia dengan rejim Bashar al-Assad melalui aplikasi WhatsApp dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut laporan akhbar Israel Yedioth Ahronoth, operasi tersebut melibatkan ejen perisikan yang menyamar sebagai “Musa” untuk berhubung dengan pegawai tinggi rejim Syria.
Mesej rahsia itu dikatakan bertujuan merundingkan perjanjian yang melibatkan pemberhentian pemindahan senjata ke Lubnan oleh rejim Assad sebagai pertukaran untuk penarikan sekatan antarabangsa terhadap Syria. Pada penghujung tahun 2019, Ketua Mossad ketika itu, Yossi Cohen, dijadualkan bertemu Assad di Kremlin, tetapi pertemuan tersebut dibatalkan oleh Assad.
Direktorat Perisikan Tentera Israel (Aman) juga didakwa menghantar mesej kepada Menteri Pertahanan Syria ketika itu, Ali Abbas, selepas serangan udara Israel di Syria yang mensasarkan lokasi berkaitan Iran atau Hizbullah.
Bashar al-Assad, yang telah memimpin rejim Baath Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia selepas Damsyik ditawan oleh kumpulan pembangkang pada 8 Disember. Peristiwa ini menandakan kejatuhan Parti Baath yang memerintah sejak 1963. Pengambilalihan tersebut berlaku selepas serangan kilat yang dipimpin oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS) berjaya menawan bandar-bandar utama dalam masa kurang dari dua minggu.
Israel terus menduduki wilayah di Syria, Lubnan, dan Palestin sejak beberapa dekad lalu. Negara itu masih menolak untuk berundur atau menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota, berdasarkan sempadan sebelum 1967.
Sumber: AA, Yedioth Ahronoth