
Kabinet Keselamatan Israel telah meluluskan rancangan untuk mengiktiraf 13 pos penempatan di Tebing Barat yang diduduki. Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, yang berhaluan kanan, memuji langkah ini sebagai usaha untuk mengukuhkan kedaulatan Israel di kawasan tersebut.
“Kami terus memajukan penempatan dan normalisasi di Tebing Barat. Daripada bersembunyi, kami bangga membina dan mengukuhkan penempatan. Ini adalah langkah penting ke arah kedaulatan sebenar di Judea dan Samaria (Tebing Barat),” kata Smotrich pada Ahad.
Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Kabinet Israel pada malam Sabtu. Langkah ini telah dikutuk oleh kumpulan penentang Palestin, Hamas, yang menyifatkannya sebagai “percubaan terdesak untuk mengukuhkan pendudukan haram.”
Hamas dalam kenyataannya berkata, “Penempatan ini adalah projek penjajahan perkauman yang bertujuan merampas tanah dan hak penduduk Palestin, melanggar undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.” Mereka menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak menghentikan perluasan penempatan haram Israel.
Menurut laporan Palestin, kira-kira 770,000 peneroka haram Israel kini tinggal di 180 penempatan dan 256 pos di Tebing Barat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan semua penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Ketegangan di Tebing Barat semakin memuncak sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023. Sekurang-kurangnya 937 rakyat Palestin telah terbunuh, dan lebih 7,000 cedera dalam serangan oleh tentera Israel dan peneroka haram.
Pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai haram dan menggesa pemindahan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Langkah terbaharu Israel ini dilihat sebagai satu lagi usaha untuk mengukuhkan penguasaannya di Tebing Barat, sambil mencabar undang-undang antarabangsa dan hak penduduk Palestin.
Sumber: TRT World & Agensi