PalestinSemasa

Israel lakukan ‘pembersihan etnik’ di Gaza : doktor British-Palestin

Serangan yang berterusan oleh Israel adalah sebahagian daripada percubaan untuk “pembersihan etnik” di Gaza dengan menjadikannya tidak boleh didiami, menurut pakar bedah Britain-Palestin Dr Ghassan Abu Sitta.

Abu Sitta, seorang pakar bedah perang yang berpengalaman, baru sahaja kembali ke UK selepas berminggu-minggu merawat mereka yang cedera dan sakit di Gaza, termasuk di Hospital Al Ahli Baptist dan Kompleks Perubatan Al Shifa, ketika Palestin dibom lebih 40,000 tan bahan letupan Israel.

Abu Sitta telah bersetuju untuk bekerjasama dengan polis UK bagi memberikan bukti saksi “jenayah perang” Israel sejak beberapa minggu lalu.

“Tugas saya sebagai seorang doktor bukan hanya untuk memberi rawatan kepada pesakit saya, tetapi juga untuk mencari keadilan untuk mereka,” katanya kepada Anadolu di London selepas memberi sidang akhbar anjuran Pusat Keadilan Antarabangsa untuk Palestin.

‘Malapetaka di Gaza’’

Abu Sitta yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun, telah berada di  12 peperangan di Yaman, Iraq, Syria, Lubnan Selatan dan Gaza. Dia tiba di Palestin berikutan perang Israel di Gaza.

Tidak lama selepas itu, dia berkata polis anti terorisme British “muncul di rumah saya di UK dan mengganggu keluarga saya.”

Bagaimanapun, dia berkata dia tidak akan “berhenti bersuara bagi pihak pesakit saya dan menjadi saksi terhadap jenayah yang sedang berlaku.”

Mengenai situasi semasa di seluruh Gaza, di mana gencatang senjata telah dilaksanakan sejak Jumaat, beliau berkata bahawa walaupun beberapa makanan dan ubat-ubatan telah berjaya memasuki kawasan itu selepas sekatan yang dahsyat, ini “tidak mencukupi.”

“Keadaan di Gaza masih kekal malapetaka. Terdapat kekurangan makanan dan air serta ubat-ubatan,” Abu Sitta menegaskan, sambil menyatakan bahawa daripada 36 hospital, hanya sembilan daripadanya terselamat daripada serangan Israel.

‘Hospital penuh dengan mangsa cedera tanpa ubat bius’

Israel berhasrat untuk “membersihkan Gaza daripada penduduk Palestin,” Abu Sitta menegaskan, sambil menambah bahawa Tel Aviv berusaha “untuk melakukan pembersihan etnik untuk menjadikannya tidak dapat didiami.”

“Jika anda mahu membuat tempat itu tidak boleh didiami, anda lakukan dua perkara: Anda mencederakan 37,000 orang, dan kemudian memusnahkan sistem kesihatan supaya mereka tidak dapat mendapatkan rawatan, yang bermaksud bahawa mereka perlu keluar dari Gaza untuk mendapat rawatan,” jelasnya.

Menceritakan salah satu pengalaman terburuknya dalam tempoh beberapa minggu dia berada di sana, Abu Sitta bercakap tentang insiden yang berlaku selepas Israel mensasarkan sebuah masjid ketika solat malam, hanya dua hari sebelum dia terpaksa meninggalkan Hospital Al Ahli Baptist.

“Mereka membunuh 60 orang dan ratusan cedera,” katanya sambil menambah hanya dua bilik bedah yang tinggal tetapi terus membedah pesakit yang cedera sehingga mereka kehabisan ubat.

Pada ketika itu, mereka terpaksa meninggalkan hospital, walaupun masih terdapat 500 orang yang cedera tanpa ada ubat anestetik. Al Ahli adalah satu-satunya hospital di bahagian utara Gaza pada masa itu.

“Hospital penuh dengan mangsa cedera, di mana-mana di atas lantai, di perkarangan, dan kesemua mereka memerlukan pembedahan, tetapi tiada bilik pembedahan yang tinggal.”

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

 

Related Articles

Back to top button