Semasa

Israel guna alat pengesan wajah sasar rakyat Palestin

BAITULMAQDIS : Sebuah organisasi yang bergerak di bawah tentera Israel menjalankan program pengumpulan data peribadi dengan menggunakan teknologi pengesanan wajah yang menyasarkan rakyat Palestin di Tebing Barat.

Berdasarkan laporan The Washington Post, ini merupakan kali pertama pendedahan dilakukan askar kepada organisasi Breaking The Silence.

Kaedah pengesanan wajah ini menyaksikan tentera rejim mengumpul data Palestin di bandar Hebron.

“Tentera melakukan rondaan dilengkapi peranti khusus dan mengambil gambar setiap rakyat Palestin yang mereka lihat, sepenuhnya (dengan) sewenang-wenangnya,” kata Pengarah Advokasi Breaking the Silence, Ori Givati kepada AFP.

Tambah Givati, sistem yang dikenali sebagai Blue Wolf itu, menganalisis empat hasil berdasarkan pengamatan enam askar yang mengambil bahagian dalam usaha pengawasan.

“Jika hasilnya berwarna merah, bermakna individu itu harus ditangkap, kuning bermaksud rakyat Palestin harus ditahan dengan dipantau seorang penyelia tentera dan hijau menunjukkan mereka bebas untuk meneruskan perjalanan.” ujarnya.

Bagaimanapun, jika pengamatan menunjukkan tiada keputusan, ini bermaksud data rakyat Palestin itu belum ada dalam sistem Blue Wolf dan mendorong tentera Zionis mengumpul lebih banyak data.

Apabila diminta untuk mengulas lanjut berkenaan Blue Wolf, tentera Israel mendakwa pihaknya menjalankan langkah keselamatan mencegah keganasan. – AGENSI

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button