PARIS: Perancis merancang untuk mengharamkan abaya, pakaian panjang labuh yang dipakai oleh wanita Islam, di kawasan sekolah, lapor agensi media Anadolu memetik kenyataan Menteri Pendidikan negara itu pada Ahad.
Gabriel Attal memberitahu penyiar TF1 bahawa kerajaan merancang menyediakan ‘peraturan jelas’ mengenainya kepada pegawai sekolah di seluruh negara.
Attal juga berkata beliau akan berbincang dengan pentadbir sekolah mulai minggu depan untuk membantu mereka menguatkuasakan larangan pemakaian seperti jubah yang menutup seluruh badan.
Keputusan itu adalah yang terbaharu dalam pelbagai sekatan ke atas pakaian umat Islam di Perancis, dengan pengkritik mendakwa kerajaan menyasarkan masyarakat Islam menerusi dasar dan kenyataan, termasuk oleh Presiden Emmanuel Macron bahawa agama itu ‘menghadapi krisis’.
Masjid dan badan amal turut diserbu selain melaksanakan undang-undang ‘anti-pemisahan’ yang mengenakan sekatan secara meluas terhadap masyarakat Islam.
Sejak tahun 2020, masyarakat Islam Perancis yang berjumlah 5.7 juta orang, yang terbesar di Eropah, berada di bawah ‘perhatian’ selepas Presiden Emmanuel Macron mengumumkan tindakan keras terhadap ‘Islamis radikal’.
BACA JUGA
Islamofobia: Dengan berselawat, akan selesai semua masalah