‘Insiden rusuhan tokong hanya salah faham’ – ACP Idzam Jaafar
KUALA LUMPUR : Insiden kekecohan sekitar tokong di Jalan Sungai Besi semalam melibatkan sekumpulan individu yang cuba memecahkan jentolak dan menyerang anggota polis tercetus akibat salah faham.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, memaklumkan kejadian tersebut sekaligus akan membangkitkan isu sensitif yang akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Video dan mesej yang tular itu melibatkan isu-isu agama dan rumah ibadat yang akan memberi impak buruk kepada masyarakat.
“Jadi, ekoran daripada salah faham maklumat tersebut, mereka (perusuh) bertindak di luar kawalan.” katanya ketika ditemu bual UmmahToday.
Sementara itu, berkenaan video tular membabitkan kumpulan perusuh mengasari pihak polis, katanya, polis sudah pun mendapatkan maklumat dan setakat semalam, seramai empat individu berjaya ditahan.
“Berdasarkan senarai kami, masih ramai lagi yang belum ditahan dan pesalah akan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas.” katanya.
Tegas beliau, pihak polis tidak menyebelahi mana-mana pihak dan hanya menjalankan tugas demi menjaga keadilan, keselamatan serta keamanan orang awam.
Setakat hari ini, keadaan di tempat kejadian tenang dan terkawal.
Terdahulu, rusuhan berlaku pada jam 11.45 pagi hingga 4 petang semalam ketika Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) hadir untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.
Dalam pada itu, Idzam turut mengingatkan orang awam agar mana-mana pembinaan rumah ibadat haruslah mendapat kelulusan sepenuhnya.
“Pembinaan rumah-rumah ibadat ini haruslah meminta kebenaran dan persetujuan mana-mana pihak berwajib.
“Selain itu, dapatkan surat bertulis yang dipersetujui untuk rujukan pihak berkuasa bagi mengelakkan salah faham dan pertikaian.” katanya.
Oleh Nurshazlin Shahrom